PENGIKUT SEJATI

Friday 18 January 2013

Astana Klasik: Kenali Karya Antarabangsa


Pernahkah anda membaca karya-karya klasik Inggeris seperti Peter Pan, Frankenstien atau David Copperfield? Mesti pernah, bukan? Kalau tidak pernah, pasti anda pernah mendengar karya-karya hebat ini, bukan? Kali ini, One Nusantara Sdn. Bhd. mengorak selangkah lagi dengan menerbitkan novel-novel klasik Inggeris yang telah dialih ke Bahasa Malaysia. Antaranya ialah, David Copperfield, Frankenstein, Kisah misteri dan Seram, Pengembaraan Gulliver, Pengembaraan Robinson Crusde, Peter Pan, Pengembaraan Sherlock Holmes dan Pulau Karang. 

Jom ikuti ulasan buku yang ditulis oleh saudara Uthaya Sankar SB.

Kenali Karya Antarabangsa 

Kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum di Malaysia wajar mengenai para pengarang antarabangsa serta menghayati karya-karya mereka. Mungkin golongan ibu bapa, guru-guru dan pustakawan masih ingat pengalaman membaca karya-karya agung dan klasik para pengarang antarabangsa pada usia muda.

Malangnya, rata-rata kanak-kanak dan remaja masa kini dikatakan kurang terdedah serta kurang berminat membaca karya-karya asal berkenaan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris. Dalam pada kita memperkasakan Bahasa Malaysia, jangan pula kita terlupa untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Di sisi yang lain pula, pada pemerhatian saya, One Nusantara Sdn Bhd secara terus-menerus mengambil langkah ke arah menyajikan karya-karya klasik antarabangsa dalam versi terjemahan Bahasa Malaysia khusus untuk kanak-kanak dan remaja di Malaysia. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) juga sering terlibat dengan syarikat penerbitan itu dalam usaha memupuk minat membaca dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.

Sejumlah lapan judul dalam siri “Astana Klasik” memasuki pasaran pada Januari 2013. Karya-karya dalam siri ini bukan terjemahan langsung ke Bahasa Malaysia; sebaliknya adaptasi atau boleh disebut “edisi dipermudahkan” (abridged version) supaya mudah dibaca dan dihayati golongan kanak-kanak dan remaja, sebelum mereka melangkah untuk membaca karya berkenaan dalam versi asal.

Saya sendiri terasa amat seronok membaca buku-buku dalam siri ini sambil mengimbau kenangan serta pengalaman membaca versi asal (Bahasa Inggeris) pada usia kanak-kanak dan remaja di perpustakaan SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan dan SM King Edward VII, Taiping, Perak.

Novel “David Copperfield” karya Charles Dickens menampilkan watak anak yatim yang melalui pelbagai rintangan dalam hidup sebelum akhirnya berjaya dalam kerjaya dan menemui kebahagiaan yang diimpikan. Dalam novel “Frankenstein” karya Mary Shelley, seorang pelajar muda berusaha memusnahkan ciptaannya sebelum gergasi itu membunuh orang yang disayangi.

Edgar Allan Poe menyajikan kisah-kisah penuh tanda tanya menerusi koleksi “Kisah Misteri dan Seram” yang membuatkan pembaca seolah-olah terlibat sama dalam kisah-kisah penuh mendebarkan yang diceritakan pula dengan gaya yang memukau. Peristiwa kapal pecah dan Lemuel Gulliver terdampar di sebuah pulau yang dihuni orang kerdil dalam novel klasik “Pengembaraan Gulliver” karya Jonathan Swift pasti menarik minat kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Saya percaya, begitulah juga dengan “Pengembaraan Robinson Crusoe” di mana Daniel Defoe menceritakan secara terperinci kisah Robinson yang terdampar di sebuah pulau selama 24 tahun serta melalui pelbagai pengalaman yang mendebarkan. Pada masa sama, siapa yang tidak akan merasakan dirinya kembali menjadi kanak-kanak apabila berpeluang menikmati “Peter Pan” karya James Matthew Barrie!

Memanglah kebanyakan karya klasik ini sudah dijadikan filem, kartun dan siri televisyen. Namun begitu, tentulah sangat bermanfaat untuk kembali membaca versi asal yang sudah dipermudahkan dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Ikuti kisah dektektif Holmes dan Dr Watson menerusi “Pengembaraan Sherlock Holmes” karya Arthur Conan Doyle.

Novel “Pulau Karang” karya Robert Michael Ballantyne mungkin kurang dikenali tetapi amat wajar diketahui. Ralph Rover, Jack Martin dan Peterkin Gay terselamat apabila kapal yang dinaiki karam. Kemudian, persahabatan mereka menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan apabila bekerja di kapal lanun.

Tentu sahaja karya-karya ini akan membantu mendewasakan pembaca. Sesungguhnya membaca adalah jambatan ilmu serta mampu memperkasa minda dan membuka jendela pengalaman. Buku-buku dalam siri “Astana Klasik” boleh dijadikan hadiah untuk diri sendiri atau dihadiahkan kepada anak-anak, kenalan, saudara-mara, murid dan pelajar.


Kunjungi Bookstation untuk pembelian online. 

No comments: