PENGIKUT SEJATI

Friday 19 June 2009

Majlis Pelancaran 'Siri Cerita Klasik China'

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mempelawa penerbit, penulis perseorangan serta badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan buku hasil karya mereka di PNM di sini atau di perpustakaan awam negeri dalam usaha menggerak budaya membaca di kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah PNM Raslin Abu Bakar berkata perpustakaan itu sentiasa memberi kerjasama kepada para penulis dan penerbit bagi meningkatkan bilangan terbitan yang terbaik untuk pelbagai kategori pembaca seperti kanak-kanak, remaja dan dewasa.

"Sebagai peneraju dan penggerak budaya membaca, PNM amat memerlukan sokongan dari semua pihak terutama para penulis dan penerbit untuk turut sama menggalas tugas masyarakat berbudaya membaca," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Siri Cerita Klasik Cina di sini hari ini.

Buku itu disusun oleh Dr Chong Fah Hing dan Dr Goh Sang Seong dan diterbitkan oleh One Nusantara Sdn Bhd.

Raslin berkata buku Siri Cerita Klasik Cina itu merupakan terjemahan daripada karya klasik purbakala kaum Cina dan mengandungi lapan judul terpilih yang dapat membuka minda kanak-kanak dan remaja mengenai mitos purbakala Cina.

Selain itu, katanya, ia membolehkan pembaca mengenali secara dekat kebudayaan Cina dan Asia Timur serta mengeratkan hubungan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Buku itu kini berada di pasaran dijual pada harga RM 10.90 senaskah.

(Berita dipetik daripada BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=418901 )



Ketua Pengarah PNM En. Raslin menurunkan tandatangan beliau atas poster 'Siri Cerita Klasik China'.




Diposkan oleh Editor One Nusantara Sdn. Bhd., Tan Giek Lian

No comments: