PENGIKUT SEJATI

Monday, 10 August 2009

Bulan Kemerdekaan, Bulan Meriah


Kawan-kawan tentu tahu bahawa pada tahun ini, negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan'.

Editor sempat berbual dengan tiga tokoh aktivis sastera negara tentang erti kemerdekaan. Mereka ialah Prof. Madya Dr Lim Swee Tin, Puan Haslina Usman dan saudara Uthaya Sankar SB.


Prof. Madya Dr Lim Swee Tin berkhidmat di Universiti Putra Malaysia, beliau juga seorang penulis sajak dan cerpen serta penerima SEA Writer Award 2000.



Puan Haslina ialah anak kepada Sasterawan Negara Allahyarham Dato' Usman Awang. Beliau bergiat meneruskan perjuangan arwah ayahnya dalam memartabalkan hasil karya sastera.



Saudara Uthaya Sankar SB ialah Personaliti TV. Beliau juga merupakan pengasas dan Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan dan penggiat sastera Bahasa Malaysia.



Apakah pandangan saudara/saudari terhadap suasana kemerdekaan di negara kita?
Sewaktu negara merdeka dahulu, saya masih kecil. Ketika itu, semua orang bersorak kegembiraan sambil mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Semangat dan keceriaan yang terpancar pada wajah mereka pada ketika itu sangat luar biasa. Mereka juga melaungkan suatu perkataan yang saya tidak berapa ingat tetapi mungkin perkataan keramat itu adalah “Merdeka”.
Pada waktu remaja, saya sempat merasai kemeriahan pembentukan Malaysia. Ketika itu, saya turut serta membuat tanglung dan menyertai perarakan pada tahun 1963. Saya masih ingat, ketika itu juga kami beramai-ramai menyanyikan lagu ‘Malaysia Berjaya’.


Saya dapat merasakan semangat kemerdekaan selepas membaca cerpen ‘Turunnya Sebuah Bendera’ karya arwah ayah saya. Cerpen itu menceritakan bagaimana anak-anak muda ketika itu berdiri penuh bersemangat di Dataran Merdeka menanti detik 12.00 tengah malam sambil melaungkan “Turunkan bendera itu! Turunkan bendera itu!” Cerpen itu benar-benar menghidupkan suasana kemerdekaan.


Saya lihat sambutan kemerdekaan di negara kita sekarang ini cuma sebagai pesta. Pesta yang penuh dengan bunga api, konsert dan pemuda-pemudi keluar untuk berseronok. Sambutan kemerdekaan pada masa kini tidak ubah seperti suatu hari cuti biasa dan hari untuk bersama keluarga sahaja. Semangat kemerdekaan sejati tidak dapat dilihat pada masa sekarang.



Bagaimana kita dapat memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan anak-anak muda zaman sekarang?

Guru memainkan peranan yang besar dalam mendidik anak-anak muda dengan semangat cinta akan negara. Pengaruh guru amat besar kepada anak murid.



Semangat cinta akan negara sepatutnya disemai sejak anak-anak ini berada di tadika. Semangat seperti ini harus dipupuk ketika anak-anak masih kecil supaya mereka faham erti sebenar kemerdekaan.



Guru di sekolah dan pusat pengajian memainkan peranan yang penting kerana apa yang dikatakan oleh guru amat berkesan dan memberi impak kepada generasi muda.



Apakah aktiviti berfaedah yang boleh dijalankan supaya anak-anak muda dapat menghayati semangat kemerdekaan?

Kita boleh bersama-sama mengadakan aktiviti penghayatan kemerdekaan seperti malam deklamasi sajak dan puisi.


Kita boleh melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mengunjungi rumah warga emas. Kita boleh mengambil kesempatan yang ada untuk bertanyakan kepada generasi terdahulu tentang semangat kemerdekaan yang dapat dijadikan iktibar oleh generasi sekarang. Kita juga boleh mewujudkan Ikatan Persuratan Muhibah untuk memantapkan perpaduan rakyat Malaysia.



Kumpulan Sasterawan Kavyan memang sentiasa mengadakan beberapa aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya untuk membantu masyarakat menghayati semangat kemerdekaan.



Boleh berikan pandangan saudara/saudari tentang kemerdekaan secara peribadi?

Ingat bahawa kita pernah dijajah. Sekali merdeka, selama-lamanya merdeka.



Satu impian, satu perjuangan, satu wawasan.



Merdeka bukan hanya pada luaran. Sebaliknya memerlukan penghayatan dalam jiwa dan haruslah berterusan.



Dicatat oleh Editor One Nusantara Sdn. Bhd., Izan Ali


No comments: