PENGIKUT SEJATI

Thursday, 22 September 2011

Teaser Novel "Antasia - Satu Permulaan"



Aku ada di kereta kau sekarang – Luna Lusia

Mesej daripada Luna Lusia. Walaupun dia bersyukur Luna menghubunginya akhirnya, tetapi dia masih tidak dapat memaafkan Luna yang telah membuatnya seperti orang gila. Pantas kakinya mengorak langkah keluar dari Antasia dan bergegas ke tempat letak kereta tadi. Tetapi aneh. Bagaimana Luna tahu tempat keretanya diletak?

Menolak kemungkinan dia ditipu, Lucas masih mengorak langkah ke tempat keretanya diletakkan tadi. Hari sudah larut malam. Dia malas hendak berfikir. Jika Luna ada di situ, dia bersyukur. Jika Luna tiada, dia nekad akan meninggalkan Luna keseorangan di situ. Lantaklah jika mamanya bising. Dia tidak peduli.

Sebaik-baik sahaja dia sampai, tiada langsung bayang Luna Lusia kelihatan. Sekali lagi Lucas menarik nafas lemah. Geram dengan Luna yang mempermainkannya. Dia menghubungi Luna sekali lagi. Namun, panggilannya tidak dapat disambung. Luna Lusia benar-benar telah menguji kesabarannya. Betul-betul melampau!

Mungkin dia patut jadi jahat seketika. Tinggalkan Luna!

Kemudian, satu lagi mesej diterimanya lantas dia membacanya.



Terima kasih dan selamat tinggal – Luna Lusia


"Ya, terima kasih dan selamat tinggal! Pergi matilah! teriaknya yang tidak dapat menahan kesabaran lagi. Hampir sahaja dia membaling telefon bimbitnya itu.

Kemudian, baru sahaja dia membuka pintu keretanya, Lucas dikejutkan dengan kehadiran satu cahaya berwarna merah dari pusat membeli-belah Antasia. Cahaya merah itu semakin lama semakin merebak ke seluruh bangunan Antasia dengan disertai gelombang aneh. Ia berlaku hanya beberapa saat sebelum keadaan kembali normal.

Kakinya seperti digam. Tidak dapat bergerak. Malah, telefon bimbitnya yang dipegang tadi terlepas dari tangannya. TIba-tiba pandangan matanya kabur. Dia seperti orang mengantuk yang ingin tidur walaupun pada hakikatnya dia tidak mengantuk. Tetapi dia tidak berdaya melawannya. Kali terakhir dia sedar, tubuhnya rebah ke bumi. Tetapi dia langsung tidak berasa sakit. Seolah-olah rohnya sudah terpisah daripada jasadnya.



*Dapatkan novel ini di kedai buku Kinokuniya (KLCC) dan cawangan MPH seluruh Malaysia atau kedai buku online, Bookstation.

No comments: