PENGIKUT SEJATI

Monday, 7 May 2012

Ucapan Dato' Lee San sempena perasmian buku Travelog Beijing



Ucapan Dato' Lee San, JP.
Majlis: Majlis Pelancaran Buku Travelog Beijing, One Nusantara Sdn. Bhd.
Tarikh: 2 Mei 2012.
Tempat: Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, PWTC.

_________________________


Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis dan salam sejahtera buat hadiran sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak One Nusantara kerana memberi kesempatan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata di majlis perasmian ini.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak One Nusantara yang telah meneroka satu arus baharu dalam bidang penerbitan buku di Malaysia dengan terhasilnya buku Travelog Beijing. Saya pasti, buku ini boleh dijadikan sebagai panduan oleh rakyat Malaysia yang berminat untuk melancong ke Beijing.

Hadiran sekalian,

Sebagai penggiat dalam industri pelancongan selama hampir 20 tahun, saya sering menyarankan Beijing sebagai satu destinasi yang harus dilawati oleh semua rakyat Malaysia kerana peninggalan sejarah dan budaya yang kaya tetap dipelihara dalam arus pembangunan moden. Saya pasti, rakyat Malaysia akan lebih terpesona ke Beijing setelah membaca buku Travelog Beijing ini.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, kumpulan pelancongan Apple Vacation dan Conventions Sdn. Bhd. telah pun mempelopori bidang pelancongan ke negara-negara Asia Timur seperti China, Korea dan Jepun sejak belasan tahun lagi. Kami juga mempunyai rekod yang sangat baik dengan pakej pelancongan Islamik kami. Beribu-ribu rakyat Malaysia telah merasai keseronokkan melancong ke negara-negara ini tanpa rasa waswas bersama kami.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pasukan pelancongan Islamik Apple terdiri daripada orang-orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Mereka juga sangat berdedikasi dalam menyempurnakan tugas masing-masing untuk kepuasan para pelanggan kami. Para pelancong tidak perlu risau mengenai makanan halal dan tempat untuk bersembahyang kerana hal ini diuruskan dengan teliti oleh pekerja-pekerja kami. Oleh itu, saya menyeru kepada semua yang berminat untuk tidak segan merasai pengalaman manis melancong bersama Apple.

Hadirin sekalian,

Saya berharap buku Travelog Beijing ini akan menjadi titik mula kepada lahirnya buku-buku travelog lain dalam Bahasa Malaysia mengenai destinasi-destinasi pelancongan Negara China yang lain seperti Shanghai, Guangzhou dan Hong Kong pada masa akan datang. Apple juga akan berbincang dengan pihak One Nusantara mengenai kemungkinan menghasilkan buku travelog dengan panduan lengkap ke destinasi lain di Asia Timur seperti Korea, Jepun dan Taiwan sekiranya buku Travelog Beijing ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Akhir kata, saya yakin Travelog Beijing ini mampu menambat hati dan membuka minda pembaca untuk mendalami seni budaya dan cara hidup orang-orang di Beijing. Buku ini juga amat bermakna bagi membantu usaha kerajaan Malaysia dan kerajaan China dalam mempereratkan lagi persefahaman dan hubungan antara rakyat Malaysia dan China.

Oleh itu, dengan suka citanya, saya melancarkan buku Travelog Beijing.

Sekian, terima kasih.

No comments: