PENGIKUT SEJATI

Thursday, 22 September 2011

Teaser Novel "Antasia - Satu Permulaan"



Aku ada di kereta kau sekarang – Luna Lusia

Mesej daripada Luna Lusia. Walaupun dia bersyukur Luna menghubunginya akhirnya, tetapi dia masih tidak dapat memaafkan Luna yang telah membuatnya seperti orang gila. Pantas kakinya mengorak langkah keluar dari Antasia dan bergegas ke tempat letak kereta tadi. Tetapi aneh. Bagaimana Luna tahu tempat keretanya diletak?

Menolak kemungkinan dia ditipu, Lucas masih mengorak langkah ke tempat keretanya diletakkan tadi. Hari sudah larut malam. Dia malas hendak berfikir. Jika Luna ada di situ, dia bersyukur. Jika Luna tiada, dia nekad akan meninggalkan Luna keseorangan di situ. Lantaklah jika mamanya bising. Dia tidak peduli.

Sebaik-baik sahaja dia sampai, tiada langsung bayang Luna Lusia kelihatan. Sekali lagi Lucas menarik nafas lemah. Geram dengan Luna yang mempermainkannya. Dia menghubungi Luna sekali lagi. Namun, panggilannya tidak dapat disambung. Luna Lusia benar-benar telah menguji kesabarannya. Betul-betul melampau!

Mungkin dia patut jadi jahat seketika. Tinggalkan Luna!

Kemudian, satu lagi mesej diterimanya lantas dia membacanya.



Terima kasih dan selamat tinggal – Luna Lusia


"Ya, terima kasih dan selamat tinggal! Pergi matilah! teriaknya yang tidak dapat menahan kesabaran lagi. Hampir sahaja dia membaling telefon bimbitnya itu.

Kemudian, baru sahaja dia membuka pintu keretanya, Lucas dikejutkan dengan kehadiran satu cahaya berwarna merah dari pusat membeli-belah Antasia. Cahaya merah itu semakin lama semakin merebak ke seluruh bangunan Antasia dengan disertai gelombang aneh. Ia berlaku hanya beberapa saat sebelum keadaan kembali normal.

Kakinya seperti digam. Tidak dapat bergerak. Malah, telefon bimbitnya yang dipegang tadi terlepas dari tangannya. TIba-tiba pandangan matanya kabur. Dia seperti orang mengantuk yang ingin tidur walaupun pada hakikatnya dia tidak mengantuk. Tetapi dia tidak berdaya melawannya. Kali terakhir dia sedar, tubuhnya rebah ke bumi. Tetapi dia langsung tidak berasa sakit. Seolah-olah rohnya sudah terpisah daripada jasadnya.



*Dapatkan novel ini di kedai buku Kinokuniya (KLCC) dan cawangan MPH seluruh Malaysia atau kedai buku online, Bookstation.

Wednesday, 21 September 2011

Teaser Novel "The Untold Story"

“Siapa nama kau?” soal Diaz.

“Aira.” Jawab Aira terketar-ketar.

“Kau tertarik pada aku, kan?”

Seolah-olah ada kuasa lain yang memaksanya, Aira mengangguk.

Senyuman Diaz makin melebar. “Dan aku juga sukakan kau. Mulai malam ini, kau akan jadi milik aku…” Kepalanya dicondongkan ke arah leher Aira. Sesaat kemudian lehernya terasa hangat.

Kepedihan yang dirasakan Aira tadi dirasai semula. Bagai ada satu kuasa yang sedang mengalir ke dalam tubuhnya ketika ini. Matanya terasa berat. Lututnya terasa lemah.

Separuh dari dirinya ingin meronta melepaskan diri. Perasaannya yang separuh itu sedar, lelaki ini terlalu bahaya dan dia perlu berada jauh dari situ. Namun separuh lagi dari dirinya bagai merelakan perbuatan lelaki itu. Perasaannya yang separuh lagi itu menyukai apa yang sedang dirasakan sekarang. Dia tiba-tiba terasa bebas. Segala masalah yang sarat difikirannya hilang saat itu. Yang wujud ketika ini hanya dia dan Diaz. Aira mengerang perlahan.

Cengkaman Diaz di tengkuknya semakin kuat. Tubuh Aira semakin ringan. “Kau milik aku…” ucap Diaz sekali lagi seraya mengangkat kepalanya. Tubuh Aira yang lemah dirangkul erat. Sepasang gigi taringnya yang tajam dibenamkan ke pergelangan tangannya yang dingin. Darah yang mengalir keluar dari kesan tebukan giginya tadi disuakan ke mulut Aira.

“Malam ini, aku akan jadikan kau milik aku.” Ujarnya seraya menitiskan darahnya ke dalam mulut Aira...



*Dapatkan novel ini di kedai buku Kinokuniya (KLCC) dan cawangan MPH di seluruh Malaysia atau kedai buku online, Bookstation.

Tuesday, 20 September 2011

Manga Thai - See You in My Dream #2

Judul: See You in My Dream #2

Cerita/ilustrasi: Kanda Wangdee

Genre: Cinta

ISBN: 978-967-5440-51-9

Halaman: 176 muka surat

Saiz Buku: 12.8 cm x 18.2 cm

Penerbit: Komikku Daiichi Sdn Bhd

Harga: S/M RM5.50, S/S RM6.50

Belian Online: http://www.bookstation.com.my/

Peruncit: MPH outlets

Pesta Buku: KLIBF, Pesta Buku Selangor, Popular Bookfest, MPH Bookfair, Read Malaysia

Sinopsis:

Cinta sejati sentiasa ada cabaran. Adakalanya sukar untuk menghadapinya. Walaupun terpaksa menghadapi kehilangan dan kesusahan tetapi cinta tetap sentiasa indah. Ikuti kisah cinta yang bukan sahaja ada dalam mimpi.

Monday, 19 September 2011

Manga Thai - See You in My Dream #1


Judul: See You in My Dream #1

Cerita/ilustrasi: Kanda Wangdee

Genre: Cinta

ISBN: 978-967-5440-50-2

Halaman: 168 muka surat

Saiz Buku: 12.8 cm x 18.2 cm

Penerbit: Komikku Daiichi Sdn Bhd

Harga: S/M RM5.50, S/S RM6.50

Belian Online: http://www.bookstation.com.my/

Peruncit: MPH outlets

Pesta Buku: KLIBF, Pesta Buku Selangor, Popular Bookfest, MPH Bookfair, Read Malaysia


Sinopsis:

Adakah anda mencintai seseorang? Seseorang yang membuatkan hari-hari anda penuh bermakna. Seseorang yang menjadi tempat perlindungan untuk anda. Seseorang yang akan membuatkan anda menangis dan ketawa setiap masa.

Adakah anda pasti bahawa perasaan anda adalah sama dengannya? Adakah anda pasti bahawa ia akan kekal begitu selama-lamanya?

Friday, 16 September 2011

Teaser Novel "Janji Julia"

Dalam jarak kira-kira 100 meter, dia dapat melihat segalanya. Suasana di atas lebuh raya masih lagi kelam-kabut. Masih ramai yang panik dan tidak melarikan diri. Mereka dikejar dan ditembak dari jarak dekat. Ada juga yang ditetak sesuka hati. Sebahagian daripada penyerang itu terus melepaskan tembakan bertalu-talu sambil mengejar orang awam sementara yang lainnya menyelongkar kenderaan yang ditinggalkan. Julia hampir termuntah apabila melihat lebuh raya itu bermandi darah.

Mimi memaut badan Julia rapat-rapat sambil tunduk memandang tanah. Julia terus mengangkat muka memerhati. Bukan kerana dia berani, namun kerana dia perlu tahu demi keselamatan mereka berdua. Tiba-tiba bunyi letupan bom kedengaran lagi. Kali ini lebih hampir. Dia dan Mimi serta-merta menekap telinga mereka.

“Ya, Allah!” Itu sahaja yang terucap. Terasa bumi yang dipijak turut bergegar sama.

Sebuah bas yang berada di hadapan kereta Mercedes tadi pula menjadi sasaran penyerang kali ini. Asap hitam naik berkepul-kepul. Api menjulang tinggi. Bau hangit kesan terbakar mencucuk hidung. Bau petrol, bau plastik dan bau mayat manusia bercampur baur. Tekak Julia semakin loya.

Setelah hampir sejam huru-hara di kawasan itu berlaku, akhirnya kumpulan penyerang itu berpecah kepada dua. Sebahagian daripadanya berjalan kaki manakala sebahagian yang lain berlalu dengan menaiki beberapa buah pacuan empat roda menuju ke arah selatan. Riuh dan hiruk-pikuk dengan sorakan kegembiraan.

Julia yakin, pesta pembunuhan mereka akan berterusan di sepanjang lebuh raya. Apabila mereka berlalu, Julia seakan tersedar daripada mimpi. Dia teringatkan sesuatu. Dengan jari yang menggigil, dia menekan butang-butang di telefon.

“Ayah!” jeritnya sambil berhamburan air mata. “Ayah! Ada tembak-menembak di lebuh raya,” jeritnya lagi apabila panggilan itu tiba-tiba tersambung. Sesungguhnya pada saat itu jiwanya meronta-ronta untuk mendengar suara ayahnya walaupun sekali.

“Ju! Ju! Lari dari situ!” Suara ayah Julia sayup-sayup kedengaran.

“Ayah!” panggilnya lagi. “Ayah!” Panggilannya tidak berjawab. Talian telah terputus. Isyarat telefon tiba-tiba menghilang semula. Dia menangis teresak-esak. Dan tatkala dia menoleh ke arah Mimi, Mimi terjelepok di atas tanah. “Mimi! Mimi!”



*Dapatkan novel ini di kedai buku Kinokuniya (KLCC) dan cawangan MPH seluruh Malaysia atau kedai buku online, Bookstation.