PENGIKUT SEJATI

Thursday 26 August 2010

DUA NOVEL REMAJA TERBARU!!!

TERBARU DARIPADA IZAN ALI



Ilham mengimbau kembali kenangan lamanya ketika menghadiri majlis perkahwinan rakannya. Dia merupakan seorang budak yang comot, hitam dan gemuk ketika sekolah dulu. Adalah perkara normal untuk remaja mempunyai perasaan suka terhadap seseorang.Ilham tak pernah putus asa. Ilham tak pernah berhenti mencuba. Ilham sentiasa tahu bahawa satu hari nanti dia pasti akan mengukir senyum. Oleh itu dia bertekad untuk mengubah semuanya. tetapi, dapatkah dia mengubah nasibnya yang selalu dipersendakan oleh orang lain? Ikutilah kisah Ilham.

Oh ya, ini bukan novel dogeng hikayat Laila Majnun. Ini cerita Ilham dan harapannya.



TERBARU DARIPADA ILMAR IMIA
PEMUJA RAHSIA adalah kisah peminat fanatik yang terlalu memuja artis kesayangannya. Krisya Norsabrina, remaja berusia 17 tahun yang sangat meminati muzik. Hampir 24 jam masanya dalam satu hari dihabiskan dengan mendengar muzik.

Krisya Norsabrina paling menggemari band Petir, sebuah band yang dianggotai oleh 4 orang pemuda. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi pemuja rahsia lagi.

****

Dapatkan kedua-dua novel ini berserta dengan ketiga-tiga novel Astana Novella lain dengan diskaun 20% bagi setiap novel di Pesta Buku Popular!



dipos oleh: Fadzillah

PESTA BUKU POPULAR 2010


Mari berpesta dengan buku lagi. POPULAR akan menganjurkan BOOKFEST@MALAYSIA pada 4 hingga 12 September 2010 bertempat di Convention Centre, KLCC. Kumpulan Gemilang Publishing juga akan mengambil bahagian dalam pesta buku kali ini bertempat di Hall 4 (4C01-4C08).
Bagi peminat komik, anda berpeluang bertemu dengan pelukis komik OKA dan KACHIGO yang akan memeriahkan lagi slot pentas pada:

Tarikh: 11/09/2010 Masa: 6.00 petang

Jangan ketinggalan menyaksikan mereka!


Bagi pembaca novel yang ternanti-nantikan novel remaja terbaru dari One Nusantara, jangan ketinggalan dapatkan dua buah novel terbaru dari penulis-penulis kami! Tunggu kemunculan mereka di sana!

Friday 20 August 2010

PENGUMUMAN

PERTUKARAN ALAMAT EMEL PENGHANTARAN MANUSKRIP


Dimaklumkan bahawa kami telah menukar alamat emel bagi segala proses berkenaan dengan manuskrip. Segala urusan berkenaan manuskrip sama ada pertanyaan dan penghantaran manuskrip anda, perlu dihantar kepada novelonenusantara@gmail.com

Harap maklum.

ditulis oleh: Fadzillah

Monday 9 August 2010

Dialog Sasterawan & Bacaan Puisi A. Samad Said Sempena Pelancaran Sudut Sasterawan Negara

Pada 04 Ogos 2010, bertempat di SMK Bandar Utama Damansara 4, pihak sekolah telah menjemput Sasterawan Negara ke 4 iaitu Datuk A. Samad Said untuk sesi Dialog Sasterawan & Bacaan Puisi. Majlis ini diadakan sempena pelancaran Sudut Sasterawan Negara di sekolah tersebut. Bagi memeriahkan suasana, pihak sekolah turut menjemput Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin dan Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Uthaya Sankar SB yang mewakili Kavyan dan dituruti pula dengan Pengetua SMK Bandar Utama Damansara 4, Encik Tay Keng Lee. Encik Tay Keng Lee dalam ucapan beliau berkata, budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja telah kurang dan mereka (golongan remaja) lebih leka dengan gajet-gajet ICT. Beliau berharap dengan pelancaran Sudut Sasterawan Negara dapat memupuk budaya membaca dengan membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu dalam kalangan generasi muda sekarang.

Majlis diteruskan dengan bacaan puisi Datuk A. Samad Said yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah SMK Bandar Utama Damansara 4 yang mendeklamasikan sajak dalam beberapa bahasa iaitu Bahasa Malaysia, bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Dalam sesi Dialog bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said beliau berharap kerajaan memainkan peranan utama dalam memastikan karya-karya sasterawan didedahkan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda supaya dengan ini dapat memupuk minat membaca dan berfikir. Menurut beliau lagi, melalui pembacaan sesebuah buku, beliau dapat mengetahui sesuatu zaman yang beliau tidak sempat mengetahui atau mengalami kehidupan di zaman tersebut.

Selepas berakhirnya sesi dialog bersama Datuk A. Samad Said, pelajar-pelajar dan guru-guru diberi peluang untuk mendapatkan karya-karya agung mereka berserta dapat beramah mesra dengan Sasterawan Negara itu dan tetamu-tetamu jemputan. Majlis diteruskan lagi dengan Pelancaran Sudut Sasterawan Negara yang dilancarkan oleh Datuk A. Samad Said dan Pelancaran Sudut Buku Penulis Malaysia yang dilancarkan oleh Dr. Lim Swee Tin.

Di akhir majlis, mereka berharap Sudut Sastera Negara turut diwujudkan di semua sekolah di seluruh Malaysia agar dapat memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda masa kini.

Datuk A. Samad Said bergambar bersama Pengetua SMK Bandar Utama Damansara 4 (kiri)

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said sedang menandatangani poster kemerdekaan yang tercatit hasil karya puisi beliau.

Datuk A. Samad Said dan Dr. Lim Swee Tin semasa sesi autograf



Datuk A. Samad Said sedang mendeklamasikan puisi


Sudut Sasterawan Negara. Berikut adalah biodata 10 orang Sasterawan Negara.




Datuk A. Samad Said bergambar bersama Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.

Gambar di ambil dari saudara Uthaya Sankar SB
Di tulis oleh: Fadzillah