PENGIKUT SEJATI

Monday 9 August 2010

Dialog Sasterawan & Bacaan Puisi A. Samad Said Sempena Pelancaran Sudut Sasterawan Negara

Pada 04 Ogos 2010, bertempat di SMK Bandar Utama Damansara 4, pihak sekolah telah menjemput Sasterawan Negara ke 4 iaitu Datuk A. Samad Said untuk sesi Dialog Sasterawan & Bacaan Puisi. Majlis ini diadakan sempena pelancaran Sudut Sasterawan Negara di sekolah tersebut. Bagi memeriahkan suasana, pihak sekolah turut menjemput Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin dan Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Uthaya Sankar SB yang mewakili Kavyan dan dituruti pula dengan Pengetua SMK Bandar Utama Damansara 4, Encik Tay Keng Lee. Encik Tay Keng Lee dalam ucapan beliau berkata, budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja telah kurang dan mereka (golongan remaja) lebih leka dengan gajet-gajet ICT. Beliau berharap dengan pelancaran Sudut Sasterawan Negara dapat memupuk budaya membaca dengan membaca bahan-bahan bacaan yang bermutu dalam kalangan generasi muda sekarang.

Majlis diteruskan dengan bacaan puisi Datuk A. Samad Said yang disampaikan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah SMK Bandar Utama Damansara 4 yang mendeklamasikan sajak dalam beberapa bahasa iaitu Bahasa Malaysia, bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Dalam sesi Dialog bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said beliau berharap kerajaan memainkan peranan utama dalam memastikan karya-karya sasterawan didedahkan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda supaya dengan ini dapat memupuk minat membaca dan berfikir. Menurut beliau lagi, melalui pembacaan sesebuah buku, beliau dapat mengetahui sesuatu zaman yang beliau tidak sempat mengetahui atau mengalami kehidupan di zaman tersebut.

Selepas berakhirnya sesi dialog bersama Datuk A. Samad Said, pelajar-pelajar dan guru-guru diberi peluang untuk mendapatkan karya-karya agung mereka berserta dapat beramah mesra dengan Sasterawan Negara itu dan tetamu-tetamu jemputan. Majlis diteruskan lagi dengan Pelancaran Sudut Sasterawan Negara yang dilancarkan oleh Datuk A. Samad Said dan Pelancaran Sudut Buku Penulis Malaysia yang dilancarkan oleh Dr. Lim Swee Tin.

Di akhir majlis, mereka berharap Sudut Sastera Negara turut diwujudkan di semua sekolah di seluruh Malaysia agar dapat memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda masa kini.

Datuk A. Samad Said bergambar bersama Pengetua SMK Bandar Utama Damansara 4 (kiri)

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said sedang menandatangani poster kemerdekaan yang tercatit hasil karya puisi beliau.

Datuk A. Samad Said dan Dr. Lim Swee Tin semasa sesi autograf



Datuk A. Samad Said sedang mendeklamasikan puisi


Sudut Sasterawan Negara. Berikut adalah biodata 10 orang Sasterawan Negara.




Datuk A. Samad Said bergambar bersama Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.

Gambar di ambil dari saudara Uthaya Sankar SB
Di tulis oleh: Fadzillah

No comments: