PENGIKUT SEJATI

Wednesday 30 May 2012

Sesi Bicara Travelog Beijing

Sesi Bicara Travelog Beijing sempena Pesta Buku Negeri Selangor


Tarikh & Masa:

29 Jun 2012 (Jumaat)

3:00 - 5:00 Petang

Tempat:

Pentas Aktiviti, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC)


Barisan Penulis:






Objektif

1. Memberi peluang kepada penulis Travelog Beijing berkongsi pengalaman melawat Beijing, China serta menulis pengalaman itu.
2. Memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu dan mendengar pengalaman penulis terbabit mengenai suasana di Beijing serta pengalaman menulis travelog.
3. Membuka peluang hadirin bertanya soalan-soalan yang wajar untuk mendapatkan kepastian mengenai pelacongan ke Beijing berdasarkan pengalaman tiga penulis terbabit.

Khalayak Sasaran

Dialog sastera ini mensasarkan kepada khalayak pelbagai kaum dan pelbagai umur yang berminat mengikuti perkongsian pengalaman melawat Beijing. Para penulis, wartawan, mahasiswa, pengkaji budaya, peminat seni, pencinta buku, guru, pelajar, pihak berkuasa tempatan dan orang ramai diundang ke majlis ilmu ini. Hadirin diminta menjaga adab dan tata susila sepanjang program berlangsung.

Cara Pengendalian Program

Dalam sesi dialog ini, moderator akan meminta ketiga-tiga penulis terbabit berkongsi pengalaman mereka berkunjung ke Beijing, China pada Julai 2011 serta pengalaman mereka menghasilkan Travelog Beijing sekembali ke tanah air. Orang ramai juga boleh mengemukakan soalan/pertanyaan mengikut tatacara yang dijelaskan secara terperinci di bawah.

Soalan Daripada Hadirin

Hadirin boleh mengemukakan soalan bertulis yang disertakan maklumat diri (nama penuh, pekerjaan, nombor telefon). Soalan bertulis perlu diserahkan kepada urus setia (wakil penganjur) yang bertugas pada hari program. Soalan-soalan ini akan disaring oleh urus setia dan moderator. Hanya soalan-soalan yang didapati sesuai dan wajar akan dikemukakan kepada para penulis untuk dijawab. Soalan-soalan yang terpilih itu pula hanya akan dibacakan sekiranya individu yang mengemukakan soalan itu berada di tempat acara (pentas aktiviti). Individu terbabit yang “muncul” kemudian dengan apa alasan sekali pun tidak akan dilayan.

Jumlah Soalan

Kertas-kertas soalan yang dikemukakan oleh hadirin akan dipilih secara undian terbuka semasa sesi dialog sedang berlangsung. Pengundian akan dihentikan sebaik tamat tempoh kerana program hanya sekitar sejam; tidak termasuk sesi tayangan slaid, nyanyian dan bacaan petikan buku.

Skop Sesi Bicara

Program ini secara khusus berkaitan pengalaman tiga penulis terbabit melawat Beijing, pengalaman menghasilkan buku dan bidang yang berkaitan. Penulis juga mungkin ditanya mengenai penglibatan mereka dalam bidang penulisan. Sebarang pertanyaan/soalan yang di luar lingkungan (skop) tidak akan dilayan. Hadirin diminta menghormati perkara ini.

Cenderamata

Hadirin yang soalannya terpilih dalam undian dan dikemukakan kepada penulis semasa sesi bicara, akan menerima cenderamata berupa bahan bacaan sumbangan One Nusantara Sdn Bhd. Cenderamata ini hanya akan diberi sekiranya individu yang mengemukakan soalan itu berada di tempat acara (pentas aktiviti) semasa soalannya dibacakan. Individu terbabit yang “muncul” kemudian dengan apa alasan sekali pun tidak akan dilayan.

Buku Travelog Beijing

Sepanjang Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun – 9 Julai 2012), buku Travelog Beijing (2012) boleh dibeli di gerai One Nusantara Sdn Bhd dengan harga istimewa. Buku ini juga akan dijual di sekitar pentas aktiviti semasa sesi bicara berlangsung.


Penganjur

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

One Nusantara Sdn Bhd

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini, sila hubungi Tajul Khazimi menerusi emel aina_amy@yahoo.com atau talian 017-4618834.

(hebahan asal dipetik dari blog Uthaya Sankar SB)

No comments: